Topik ini adalah topik dalam Kajian Tempatan Tahun 4
Murid-murid telah belajar mengenai petempatan awal, faktor mempengaruhi kepadatan, dan fungsi rumah. Guru boleh menerangkan mengenai dua jenis rumah yang terdapat di Malaysia iaitu rumah tradisional dan rumah moden.
Rumah tradisional ialah rumah yang dibina secara tradisi dan dibina oleh tukang kayu menggunakan kemahiran tradisi seperti sebuah rumah menggunakan pasak iaitu tanpa paku. Rumah sebegini biasanya terdapat di kampung, tetapi ada juga rumah yang telah dibaik pulih dan menjadi muzium atau pameran untuk orang ramai. Rumah tradisional dibina menggunakan hasil alam seperti kayu meranti, nyatoh dan sebagainya. Lihatlah jenis dan reka bentuk rumah tradisional di bawah.
A. RUMAH PANJANG
Jenis rumah panjang biasanya mempunyai bilik-bilik tambahan. Di sebelah depannya ialah serambi dan di sebelah belakangnya pula ialah bahagian dapur. Rumah panjang itu didirikan dengan bertiang tinggi supaya ia tidak terjejas oleh air bah (banjir). Pada zaman dahulu, ini juga merupakan satu cara untuk melindungkan rumah daripada diserang oleh musuh. Untuk masuk ke rumah itu, seseorang terpaksa menaikinya melalui tangga-tangga yang dibuat dari batang kayu.
![]() |
Rumah Panjang |
Rumah Panjang Sarawak
Pada 9 Oktober 2009, kerajaan negeri Sarawak berhasrat memberi nilai dan gaya baru kepada rumah panjang Sarawak tanpa mengorbankan ciri-ciri unik rumah panjang. Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyatakan seminar rumah panjang diadakan bagi mendapatkan pelbagai input daripada pemimpin masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Hak milik strata bagi setiap bilik akan dikeluarkan dan dengan itu dapat digunakan sebagai cagaran apabila memohon pinjaman. Insuran rumah juga dapat dikeluarkan demi keselamatan rumah. Biasanya rumah panjang mempunyai 10 dan 20 bilik . Setiap rumah panjang mempunyai "ruai" iaitu ruang bilik bersama yang terletak di bahagian hadapan rumah itu di mana kebanyakkkan aktiviti diadakan di tempat itu. Arkitek daripada kaum Iban akan memastikan tidak menghapuskan hak "tuai rumah" yang menjadi ketua bagi setiap rumah panjang. Hak pentadbiran mereka akan dikekalkan. Di kampung tradisional Melayu , ketua kampung menjadi penghulu bagi kampung berkenaan. Reka bentuk baru itu mungkin sama seperti konsep sebuah lot kedai dengan kaki limanya tetapi masih mengekalkan reka bentuk rumah panjang.
"Ruai" Rumah Panjang di Sarawak |
B. RUMAH MINANGKABAU
Rumah Minangkabau merupakan rumah tradisional Melayu di Negeri Sembilan. Reka bentuk rumah ini melentik seperti tanduk kerbau. Reka bentuknya sama seperti reka bentuk rumah di Sumatera, Indonesia. Menurut sejarah, orang Minangkabau telah datang dan menetap di Negeri Sembilan dengan membuat rumah dan mengekalkan reka bentuk seperti rumah mereka di Minangkabau.
Rumah Minangbakau |
Asal-usul Bentuk Rumah Minangkabau
Bentuk atap rumah Minangkabau yang seperti tanduk kerbau sering dihubungkan dengan cerita Tambo Alam Minangkabau. Cerita tersebut tentang kemenangan orang Minang dalam peristiwa adu kerbau melawan orang Jawa.
Bentuk-bentuk menyerupai tanduk kerbau sangat umum digunakan orang Minangkabau, baik sebagai simbol atau pada perhiasan. Salah satunya pada pakaian adat, iaitu tingkuluak tanduak (tengkuluk tanduk) untuk Bundo Kanduang.
Asal-usul bentuk rumah gadang juga sering dihubungkan dengan kisah perjalanan nenek moyang Minangkabau. Konon khabarnya, bentuk badan rumah Minangkabau yang menyerupai tubuh kapal adalah meniru bentuk perahu nenek moyang Minangkabau pada masa dahulu. Perahu nenek moyang ini dikenal dengan sebutan lancang.
Menurut cerita, lancang nenek moyang ini semula berlayar menuju hulu Batang Kampar. Setelah sampai di suatu daerah, para penumpang dan awak kapal naik ke darat. Lancang ini juga ikut ditarik ke darat agar tidak lapuk oleh air sungai.
Lancang kemudian ditopang dengan kayu-kayu agar berdiri dengan kuat. Lalu, lancang itu diberi atap dengan menggantungkan layarnya pada tali yang dikaitkan pada tiang lancang tersebut. Selanjutnya, karena layar yang menggantung sangat berat, tali-talinya membentuk lengkungan yang menyerupai gonjong. Lancang ini menjadi tempat hunian buat sementara. Selanjutnya, para penumpang perahu tersebut membuat rumah tempat tinggal yang menyerupai lancang tersebut. Setelah para nenek moyang orang Minangkabau ini menyebar, bentuk lancang yang bergonjong terus dijadikan sebagai ciri khas bentuk rumah mereka. Dengan adanya ciri khas ini, sesama mereka bahkan keturunannya menjadi lebih mudah untuk saling mengenali. Mereka akan mudah mengetahui bahawa rumah yang memiliki gonjong adalah milik kerabat mereka yang berasal dari lancang yang sama mendarat di pinggir Batang Kampar.
Reka bentuk rumah Melayu Melaka sememangnya unik dan mempunyai nilai indentitinya yang tersendiri. Falsafah hidup masyarakat Melayu dan pegangan agama Islam yang utuh terpancar dalam asas pembinaan rumah ini. Fungsi ruang, nilai estetika pada ciri binaan dan motif ukiran adalah perlambangan cerminan jatidiri masyrakat Melayu tradisi yang mementingkan kerja tangan yang halus dan teliti. Sebagai lambang sejarah dan warisan negeri Melaka, rumah-rumah Melaka masih dipelihara dengan baik hasil usaha banyak pihak terutamanya Kerajaan Negeri Melaka. Hasil tinggalan sejarah ini perlu dilestarikan agar tidak dipinggirkan dengan ledakan senibina moden yang lebih bersifat material dan futuristik.
Rumah tradisional Melayu yang asli di Melaka dikenali sebagai Rumah Melaka, dan bentuk bumbungnya panjang. Pada bentuk bumbungnya juga terdapat unsur-unsur senibina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau, dan tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh Cina. Perbezaan yang ketara ialah pada bentuk bumbung, perabung dan jumlah tiang utamanya.
Di Melaka terdapat dua jenis rumah tradisional, iaitu jenis Rumah Serambi atau Rumah Melaka atau Rumah Bumbung Melayu dan jenis Rumah Perabung Limas atau Bumbung Limas. Rumah Melaka terdiri daripada tiga jenis, yang terkecil dinamakan Rumah Bujang, iaitu struktur bangunannya terdiri daripada enam batang tiang utama. Jenis sederhana dinamakan Rumah Berbandung Dua, terdiri daripada dua belas batang tiang utama, manakala jenis yang terbesar dinamakan Rumah Berbandung Tiga, terdiri daripada enam belas batang tiang utama.
Rupa bentuk fizikal Rumah Melaka dapat diperjelaskan samada secara vertikal ataupun horizontal. Secara vertikal bentuk Rumah Melaka dapat dibahagikan kepada tiga perenggan atau penggalan, iaitu penggalan tiang, penggalan badan dan penggalan bumbung, manakala secara horizontal, terdiri daripada unit-unit komponen yang mengandungi unit ruang serambi dan anjung, ibu rumah dan rumah dapur. Antara ibu rumah dan dapur dipisahkan oleh selang atau pelantar. Penggalan tiang bermula daripada pangkal tiang hingga ke paras lantai. Kayu tiang dipilih daripada kayu jenis yang baik agar tidak mudah rosak oleh serangga. Biasanya tiang rumah dibuat daripada kayu kempas, cengal, merbau, damar laut dan lain-lain. Tiang dilapik dengan batu alas. Struktur penting pada penggalan tiang ialah kayu-kayu rasuk dan gelegar. Kayu rasuk dikenali sebagai rasuk panjang dan rasuk pendek. Kayu-kayu yang panjang dihubungkan dari tiang ke tiang melalui lubang-lubang pada tiang. Penggalan tiang juga mengandungi kayu-kayu gelegar disusun berbaris di atas rasuk panjang. Cara susunan adalah melintang atas rasuk pendek. Di atas rasuk pendek dan gelegar itulah disusun papan lantai.
Bendul merupakan perhiasan pada bangunan. Ia merupakan kayu kerangka yang memberi ketahanan pada struktur bangunan. Bendul terdapat pada tepi keliling bangunan rumah. Bendul juga berfungsi sebagai pemisah antara komponen atau unit rumah. Ia juga berfungsi sebagai penutup hujung lantai supaya nampak kemas. Penggalan tiang yang penting ialah tangga. Tangga bagi Rumah Melaka merupakan suatu perkara yang diambil perhatian. Tangga-tangga batunya yang bersalut jubin menunjukkkan kesan-kesan pengaruh senibina Cina.
Penggalan badan pula terdiri daripada ruang bumbung dan tiang. Penggalan badan adalah penting kerana keseluruhan struktur bangunan tertumpu kepada penggalan tersebut. Pada penggalan badan inilah terletaknya konsep rumah kerana di sinilah juga terletaknya ruang-ruang dan komponen-komponen untuk menampung berbagai fungsi. Untuk melindungi ruang daripada terdedah kepada berbagi anasir, penggalan badan diberi berdinding. Di Melaka dinding papan dipasang menegak (teknik papan berlidah) atau melintang, susunan bertindih dipaku pada kayu kambi (jerejak). Rumah Serambi Melaka yang asli tidak diberi berdinding pada muka serambi ataupun pada anjung. Sebagai ganti dinding, dipasang kisi-kisi sebagai ganti pagaran selasar agar anak-anak tidak jatuh. Serambi dan anjung yang tidak berdinding itulah yang membezakan Rumah Melaka dengan rumah tradisional yang lain.
Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Rumah Melaka menggunakan beberapa buah pintu, iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah. Tingkap merupakan sebahagian dinding yang boleh dibuka katup dan berfungsi untuk pengedaran udara dan pencahayaan. Rumah Melaka mempunyai banyak tingkap yang dibuka ke arah luar. Jika tingkap memanjang ke lantai, di bawahnya dipasang kisi-kisi. Telah menjadi tradisi di Melaka kain-kain langsir perlu dipasang pada tingkap. Ukuran tingkap Rumah Melaka biasanya lebih kurang 80 sm x 120 sm manakala ukuran pintunya pula lebih kurang 90 sm x 190 sm.
Rumah Melaka tergolong dalam jenis rumah Melayu bumbung panjang di mana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang rumah. Di muka tepi dindingnya dipasang tebar layar. Tutup bumbungnya adalah dari jenis lipat kajang. Kecuraman bumbungnya adalah sederhana iaitu antara 50 darjah hingga 60 darjah dan dinamakan tara. Di bawah tutup bumbung yang berlipat kajang tersembunyi ruang khas yang dinamakan loteng. Struktur bumbung terdiri daripada kayu alang, tunjak langit, kayu kasau, tulang perabung dan juga atap yang diperbuat daripada daun nipah atau rumbia. Kesan pengaruh luar yang datang kemudian terdapat Rumah Melaka yang menggunakan genting atau zink.
Secara horizontal pula dapat diperjelaskan tentang komponen Rumah Melaka. Komponen bangunan Rumah Melaka bergantung kepada jenis atau saiz rumah, samada kecil, sederhana ataupun jenis yang besar. Bagi jenis kecil, ruang serambi terdapat di tengah rumah dan ruang makan terletak dalam sebuah unit bangunan. Rumah jenis ini dinamakan Rumah Bujang. Rumah Bujang tidak mempunyai ruang anjung, ruang selang tangah atau pelantar.
Bagi jenis yang sederhana dinamakan Berbandung Dua (Dua Sebandung) terdiri daripada dua unit bangunan, iaitu ibu rumah dan dapur, yang dipisahkan oleh selang atau pelantar dan mempunyai serambi serta beranjung. Biasanya pelantar Rumah Melaka yang asli tidak beratap, tetapi berlantai dan berdinding. Ianya terdiri daripada dua belas batang tiang utama. Jenis Rumah Melaka yang terbesar dinamakan Berbandung Tiga (Tiga Sebandung) yang terdiri daripada komponen rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur. Unit-unit rumah dipisahkan oleh ruang selang atau pelantar. Jumlah tiang utama ialah enam belas batang, berserambi serta beranjung.
D. RUMAH LIMAS
Rumah Limas banyak terdapat di Johor, Selangor dan Terengganu. Maksud Limas adalah bentuk timba atau takir yang diperbuat daripada daun pisang atau upih yang berbentuk tirus ke atas seperti piramid.
Seni bina rumah limas menitikberatkan aspek pengudaraan, pencahayaan dan keselamatan. Rumah limas dibina agak tinggi dari aras tanah bagi menggelakkan dimasuki air ketika musim banjir atau binatang buas pada waktu malam. Rumah Limas tidak memiliki pangkal serambi dan beranjung di bahagian hadapan. Ukiran atau jejaring yang ada pada setiap tingkap, bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan tetapi juga untuk memudahkan cahaya dan udara masuk ke dalam rumah.
Kebanyakan rumah limas Johor mempunyai “kolong” iaitu bahagian bawah rumah berpagar yang berfungsi sebagai tempat menyimpan barang. Selain itu rumah limas di Muar biasanya memiliki struktur tambahan iaitu penambahan seperti pagar di bahagian bawah rumah yang dikenali sebagai "kolong" yang berfungsi sebagai tempat menyimpan barang. Rumah limas sebegini biasanya dikenali sebagai rumah baju kurung.
![]() |
Rumah Limas di Johor |
Seni bina rumah limas tergolong dalam budaya kebendaan. Sebenarnya, seni bina rumah limas banyak menerima pengaruh luar. Antaranya penjajahan Belanda dan British di Tanah Melayu, pengaruh kemasukan agama Islam serta pengaruh daripada seni bina rumah Indonesia. Hal ini demikian dapat dilihat melalui transformasi rumah bumbung panjang iaitu rumah tradisional Melayu Johor kepada rumah limas. Masyarakat Melayu tradisional Melayu Johor telah mengadaptasi seni bina luar ke dalam seni bina rumah limas. Contohnya melalui pembinaan tangga yang mempunyai maksud tertentu. Pengaruh ini bukan sahaja diserap oleh masyarakat Melayu Johor namun masyarakat Melayu amnya. Seni bina rumah masyarakat Melayu Johor ini mempunyai nilai estetika yang perlu dikekalkan dan diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.
Bahan binaannya adalah daripada kayu cengal, keranji, penak, meranti dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment